ADNAN (dua dari kanan) mengiringi Mohamad melihat ternakan anak ikan pada program Santai Akuakultur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media di Ladang Pembenihan dan Ternakan Ikan Air Tawar, Bestari Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
ADNAN (dua dari kanan) mengiringi Mohamad melihat ternakan anak ikan pada program Santai Akuakultur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media di Ladang Pembenihan dan Ternakan Ikan Air Tawar, Bestari Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid dan Amirul Aiman Hamsuddin


Rawang: Jabatan Perikanan (DOF) dengan kerjasama agensi lain sudah mempertingkatkan operasi pemantauan serta penguatkuasaan bagi mengatasi kegiatan mencuri benih kerang di pantai Sungai Leman, Sekinchan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya mengambil serius kes kecurian benih kerang dan berdasarkan maklumat, kejadian berlaku di Sekinchan.

"Tindakan penguatkuasaan sudah pun dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin untuk membanteras kegiatan itu.

"Daripada maklumat awal kita terima, kegiatan kecurian itu berlaku khususnya waktu malam dan tindakan pemantauan serta penguatkuasaan juga sudah ditingkatkan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu melawat ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd sempena program Santai Akuakultur Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media, di sini, hari ini.

Pada 29 Disember lalu Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar dalam satu kenyataan menafikan wujudnya aktiviti kecurian hidupan laut di kebun benih kerang berdekatan pantai Sungai Leman.

Noraisyah dilaporkan berkata, sebaliknya pengambilan benih kerang itu hanya berlaku di lot-lot haram yang hidup secara semula jadi dan tiada kenaikan benih sejak sekian lama.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah portal berita mendedahkan dianggarkan 200 bot ekor biawak didapati kembali aktif mencuri sumber laut itu di kebun benih kerang kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman.

Dilaporkan, sindiket itu yang sebelum ini mencuri hasil laut pada waktu malam, kini lebih berani secara terang-terangan melakukan kegiatan haram itu di siang hari sejak pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:07 PM