KENDERAAN Pembawa Senjata G-Wagon milik ATM digunakan untuk meninjau kawasan Op Pagar 2 di Bukit Kayu Hitam antara sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Bernama
KENDERAAN Pembawa Senjata G-Wagon milik ATM digunakan untuk meninjau kawasan Op Pagar 2 di Bukit Kayu Hitam antara sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Bernama
BERNAMA

Padang Besar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar 10,540 paket minyak masak bersubsidi ke negara jiran dianggarkan bernilai RM26,350.50.

Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menahan lima pikap dipandu oleh warga Thailand bergerak secara konvoi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, di sini, pada 11.30 pagi tadi.

"Rampasan itu melibatkan sebanyak 10,540 paket minyak masak yang diisi dalam 620 kotak.

"Turut dirampas beberapa barangan lain seperti tepung, minuman berkarbonat, kopi, serbuk teh, mi segera dan serbuk kunyit yang diletakkan di atas kotak minyak masak bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di Kompleks Aksem Padang Besar, di sini, hari ini.

Rodzi berkata, minyak masak bersubsidi berkenaan dipercayai dibeli secara runcit di negara ini sebelum dijenamakan semula dan dijual pada harga dua kali ganda di negara jiran.

Katanya, kesemua lima kenderaan terbabit disita dan pemandu warga Thailand turut ditahan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM1 juta, atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:50 PM