Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menahan sebuah lori yang membawa 10,200 botol cecair perisa rokok elektronik bernilai RM357,000 di Ulu Pauh dekat Arau semalam.

Komander AKSEM Perlis Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya juga menahan pemandu lori berkenaan yang berusia 20 tahun pada 11.45 pagi bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Gombak, Selangor mendakwa dirinya hanya bekerja sebagai pemandu lori dna dibayar upah oleh majikan bagi membawa muatan berkenaan.

“Dia dipercayai dalam perjalanan ke Thailand dengan membawa semua cecair berperisa berkenaan yang diisi dalam 102 kotak.

“Invois yang dibawanya menyatakan kesemua muatan terbabit adalah gel perapi rambut tetapi hasil pemeriksaan pihak kami mendapati ia adalah perisa vape,” katanya ketika sidang media di Kompleks AKSEM Chuping hari ini.

Rodzi berkata, pihaknya percaya kesemua perisa berkenaan diperoleh daripada seorang pembekal yang begitu terkenal di ibu kota.

“Namun kita masih menyiasat perkara berkenaan dan pihak kami merampas kesemua barangan serta lori turut disita.

“Suspek bersama barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 3:27 PM
AKSEM Perlis menahan sebuah lori yang membawa 10,200 botol cecair perisa rokok elektronik bernilai RM357,000 di Ulu Pauh.FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
AKSEM Perlis menahan sebuah lori yang membawa 10,200 botol cecair perisa rokok elektronik bernilai RM357,000 di Ulu Pauh.FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman