Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) berjaya mematahkan sindiket pengedaran ubat batuk dan merampas 1,100 botol ubat jenis itu yang bernilai RM11,000.

Ia hasil serbuan di rumah di Kampung Permatang Keriang, Simpang Empat dekat Kangar, 6 petang semalam.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya turut menahan lelaki berusia 39 tahun yang disyaki pengedar utama ubat batuk itu.

Katanya, ubat dimuatkan dalam 11 kotak diletakkan di belakang lori diletakkan dekat rumah itu.

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota AKSEM ke sebuah rumah yang tidak bernombor dipercayai rumah suspek yang dijadikan sebagai transit ubat batuk berkenaan.

“Suspek yang ketika itu berada di pekarangan rumah mengaku bahawa lori kepunyaannya dan tidak mempunyai permit bagi membawa semua ubat batuk berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat AKSEM Kuala Perlis, hari ini.

Rodzi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek adalah pemandu lori kepada rangkaian sindiket utama yang mengedarkan ubat batuk haram di wilayah utara Semenanjung.

“Dia disyaki menerima upah daripada ketua sindiket untuk membekalkan ubat batuk secara haram kepada pembuat air ketum di sekitar Perlis.

“Bekalan ubat dipercayai diperoleh batuk daripada pembekal dari beberapa negeri terdekat dan kemudian menjualnya semula kepada pembuat air ketum pada harga antara RM500 ke RM1,000 sekotak,” katanya.

Rodzi berkata, kesemua rampasan bernilai RM40,000 termasuk lori diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1), Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 1:40 PM