YANG di-Pertuan Agong (kiri) berkenan menerima Watikah Pelantikan daripada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Roland Galharague. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong (kiri) berkenan menerima Watikah Pelantikan daripada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Roland Galharague. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan menerima watikah pelantikan 12 ketua perwakilan asing ke Malaysia, di Istana Negara di sini.

Turut hadir ke istiadat itu Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Ketua-ketua perwakilan asing berkenaan ialah Sami Rafael Leino dari Finland, Kristen Rosenvold Geelan (Denmark), Dr Petra Ponevács-Pana (Hungary), Jagdishwar Goburdhun (Mauritius) dan Michalis Rokas (Kesatuan Eropah).

Yang lain ialah Hermono dari Indonesia, Ronald Galharague (Perancis). Dr Peter-Christof Blomeyer (Jerman), Diego Velasco Von Pilgrimm (Chile), Pam Chong Dunn (New Zealand), Tran Viet Thai (Vietnam) dan Golam Sarwar (Bangladesh).

Leino adalah Pengarah Unit Timur Asia dan Oceania, Jabatan Amerika dan Asia di Kementerian Luar Finland, sementara Geelan pula pernah menjadi Duta Denmark ke Hungary pada 2016.

Ponevács-Pana pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi Asing di Kementerian Luar dan Perdagangan Hungary dari 2014 hingga 2020.

Sementara itu, Goburdhun sebelum ini adalah Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke India dari 2015 hingga tahun ini, manakala Rokas pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Pertama Delegasi Kesatuan Eropah ke Hong Kong dan Macau pada 2002.

Hermono pula pernah menjadi Duta Besar Indonesia ke Sepanyol selama dua tahun bermula 2018, manakala Galharague sebelum ini Duta Besar Perancis ke Republik Czech dari 2017 hingga September tahun ini.

Blomeyer sebelum ini Duta Besar Jerman ke beberapa negara termasuk Uganda dan Kosova, sementara Von Pilgrimm pernah berkhidmat sebagai Koordinator Pasukan Forensik Chile (Tsunami 2004) di Thailand.

Chong Dunn pernah berkhidmat sebagai Duta Besar New Zealand ke ASEAN, manakala Viet Thai sebelum ini adalah Pengarah Pusat Penyelidikan APEC, Vietnam dan Sarwar pernah menjadi Duta Besar Bangladesh ke Sweden (2013) dan Oman (2017).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 3:45 PM