GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengesahkan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19 semalam, dan kini sedang dirawat di sebuah hospital, di sini.

Susulan itu, pengurusan MBSP mengenalpasti semua kakitangan dan pegawai yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit berkenaan diarahkan bekerja dari rumah sebagai langkah pencegahan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, dari tempoh 18 November hingga semalam, pegawai itu hanya hadir sekali sahaja ke pejabat di Menara Bandaraya iaitu pada 25 November (Rabu lalu).

"Dia dimasukkan ke hospital kelmarin dan disahkan positif Covid-19 semalam lalu. Sebagai langkah pencegahan semua kontak rapatnya dikenal pasti serta diarahkan bekerja dari rumah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, beberapa jabatan termasuk Jabatan Landskap di Kampung Jawa juga ditutup untuk kerja sanitasi secara menyeluruh.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak perlu risau dan operasi MBSP di Kaunter Berpusat berjalan seperti biasa. Bagaimanapun orang awam digalakkan membuat bayaran atau mengunakan perkhidmatan MBSP secara dalam talian.

"Terdapat 100 perkhidmatan dalam talian tersedia di Cyber Counter MBSP di laman web www.mbsp.gov.my, malah segala perkembangan terkini boleh diperoleh melalui laman rasmi Facebook, Instagram MBSP dan siaran akhbar tempatan," katanya.

Rozali berkata, penduduk Seberang Perai juga diminta tidak panik kerana keadaan terkawal dan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 1:24 PM