Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menutup Taman Robina Eco Park di Telok Air Tawar, di sini, selama lima hari bermula esok.

Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Rozali Mohamud berkata, penutupan dibuat atas nasihat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara berikutan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

"Penutupan ini juga disebabkan kesukaran untuk mengawal kehadiran pengunjung yang terlalu ramai yang dianggarkan antara 700 hingga 1,000 orang pada satu masa dan boleh melebihi pada waktu petang serta hari minggu atau cuti umum.

"Justeru penutupan dibuat sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengunjung," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Rozali berkata, pihaknya juga menyeru semua pengunjung dan orang awam yang mengunjungi taman rekreasi di seluruh Seberang Perai, terutama seliaan MBSP supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak terbabit selepas pemeriksaan mendapati terdapat pelanggaran SOP di tempat rekreasi berkenaan.

TAMAN Rekreasi Robina Eco Park, Teluk Air Tawar ditutup bermula 18 September ini. FOTO Danial Saad
TAMAN Rekreasi Robina Eco Park, Teluk Air Tawar ditutup bermula 18 September ini. FOTO Danial Saad

"Perbincangan bersama MBSP, Pegawai Daerah dan Pegawai Kesihatan Daerah bersetuju sebulat suara untuk menutup sementara pusat rekreasi berkenaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan bagi mengelakkan tanggapan negatif masyarakat setempat yang berkemungkinan akan menyebabkan tular melalui media sosial.

"Selain itu, penutupan pusat rekreasi itu juga wajar memandangkan ia berada di kawasan zon merah," katanya.

Katanya, dalam pemantauan yang dilakukan polis semalam mendapati pengunjung gagal mematuhi SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara dengan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal serta dapati ada pengunjung yang masih belum lengkap divaksinasi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 7:07 PM