KOMPLEKS makanan dan petak khinzir Pasar Awam Bagan Ajam, Jalan Terbilang, ditutup. FOTO Danial Saad.
KOMPLEKS makanan dan petak khinzir Pasar Awam Bagan Ajam, Jalan Terbilang, ditutup. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seramai 17 peniaga Pasar Awam Bagan Ajam, di sini, yang diarahkan menjalani ujian calitan Covid-19 diminta mengemukakan keputusan kepada pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sekiranya mahu kembali berniaga.

Ini berikutan, mereka sehingga kini gagal dikesan selain tidak menghadiri ujian calitan Covid-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat 38 peniaga di pasar awam berkenaan diminta membuat ujian calitan, namun 17 daripadanya didapati tidak menghadiri ujian berkenaan.

"Kesemua mereka juga gagal dikesan walaupun dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Jadi, MBSP menggesa 17 peniaga ini supaya menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Utara sebelum jam 6 petang hari ini bagi mendapatkan temujanji atau mengemaskini hasil ujian sekiranya mereka pergi menjalani ujian di klinik swasta," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rozali berkata, sekiranya mereka ingkar MBSP akan bekerjasama dengan polis dan Jabatan Kesihatan negeri untuk memburu mereka mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Selagi mereka tidak mengemukakan keputusan ujian mereka juga tidak akan dibenarkan sama sekali untuk kembali berniaga.

"Pada masa sama, MBSP turut menggalakkan semua peniaga di pasar Bagan Ajam untuk membuat ujian saringan Covid-19 dan memaklumkan keputusan kepada MBSP," katanya.

Terdahulu, MBSP menutup kompleks makanan dan petak khinzir di Pasar Awam Bagan Ajam pada Rabu hingga hari ini selepas terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan melalui Kluster Terbilang.

Sementara itu, Rozali berkata, kompleks makanan dan petak khinzir pasar berkenaan ditutup 10 hari lagi sehingga 27 Mei ini.

"Ia susulan terdapat lapan lagi kes baru Covid-19 membabitkan kontak rapat di pasar terbabit dilaporkan," katanya.

Difahamkan, sehingga kini hampir 80 kes positif Covid-19 dilaporkan bagi kluster berkenaan yang dipercayai berpunca daripada seorang lelaki warga Myanmar berusia 49 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Mei hasil saringan individu bergejala.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 4:07 PM