HANAFI gembira dengan hasil tangkapan pelbagai jenis ikan air tawar di kawasan dinaiki air di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
HANAFI gembira dengan hasil tangkapan pelbagai jenis ikan air tawar di kawasan dinaiki air di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Biar tubuh dihurung lintah, namun peluang menangkap ikan pada musim banjir tidak harus dilepaskan.

Itulah cabaran dilalui, Hanafi Abdul Rashid, 23, ketika membiarkan kakinya menjadi santapan makanan lintah sebesar jari orang dewasa semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menangkap ikan air tawar yang agak mudah diperoleh di kawasan dilanda banjir.

Bagi pekerja kilang memproses kopi itu, biarlah tubuhnya digigit lintah yang berkeliaran dalam air sungai yang melimpah ke kawasan kediaman, asalkan tong dibawa dipenuhi pelbagai jenis ikan.

Dengan menggunakan jaring, Hanafi memasang perangkap itu di kawasan dinaiki air setinggi kira-kira satu meter di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini bagi memastikan beliau tidak terlepas peluang memiliki ikan sepat, betuk, haruan, keli dan lampam.

"Sejak semalam saya sudah mula memasang jaring di beberapa lokasi strategik yang sebelum ini pernah saya menjaring dan mendapat hasil yang memuaskan.

"Alhamdulillah, pagi ini saya dapat lebih kurang dua kilogram pelbagai jenis ikan. Ada yang saya makan sendiri dan ada juga yang saya jual jika ada berhajat," katanya.

Beliau berkata, kehadiran lintah yang menghisap darahnya hingga kekenyangan tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk meredah banjir, termasuk di kawasan belukar kerana baginya, haiwan itu sekadar ingin menikmati darahnya tetapi diyakini tidak mendatangkan kemudaratan yang berbahaya.

Katanya, kaki dan pahanya yang digigit lintah tidak terasa sakit ketika beliau berada dalam air tetapi selepas keluar dari air, bahagian yang digigit haiwan itu terasa pedih dan gatal.

"Ada orang terpaksa menggunakan sirih atau tembakau untuk menggosok lintah supaya tertanggal daripada kulit tetapi saya sekadar menariknya hingga tertanggal," katanya.

Sepanjang usahanya menangkap ikan ketika musim banjir sebelum ini, hanya sekali beliau digigit lintah selebar tiga jari orang dewasa dan sepanjang kira-kira 10 sentimeter.

Katanya, dalam kejadian dua tahun lalu itu, lintah menggigit lengan kirinya ketika beliau menarik jaring di kawasan dinaiki air tetapi ia hanya disedari selepas beliau keluar dari kawasan berair.

"Saya mencuba menariknya tetapi gagal dan lengan saya semakin sakit, menyebabkan dua kawan saya terpaksa mencucuh lintah besar itu dengan puntung kayu api, baharulah ia tertanggal daripada kulit," katanya.

Hanafi berkata, air yang naik sejak petang semalam semakin surut pagi ini tetapi dijangka naik semula berikutan hujan pada tengah hari ini dan dijangka berlarutan hingga malam berdasarkan keadaan langit yang ditutupi awan hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 5:32 PM