MUHAMMAD Syukur (kanan) bersama Khamis menangkap ikan air tawar di kawasan paya berdekatan kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu. FOTO ihsan Dallah Deen.
MUHAMMAD Syukur (kanan) bersama Khamis menangkap ikan air tawar di kawasan paya berdekatan kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu. FOTO ihsan Dallah Deen.
Ahmad Rabiul Zulkifli


BUKAN sahaja gelagat bermain dengan kerbau, aktiviti menangkap ikan dijalankan Mowgli Malaysia, Muhammad Syukur Khamis, 15, bersama bapanya di kawasan paya di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu kini menjadi tarikan terbaru pengunjung.

Ikan haruan, sepat kedah, baung, belida, puyu dan toman antara berjaya ditangkap menggunakan pukat di kawasan paya itu, semalam.

Muhammad Syukur berkata, sejak kecil dia membantu bapanya, Khamis Jusoh, 64, menangkap ikan air tawar di kawasan paya berdekatan kandang kerbaunya itu.

“Biasanya saya dan ayah menggunakan pukat untuk menangkap ikan itu dan ikan terbesar kami peroleh kali ini ialah toman seberat 3.8 kilogram.

“Jika tidak memukat, saya memancing di paya itu bergantung kepada keadaan semasa.

“Kami sekeluarga peminat hidangan ikan air tawar, jadi semua ahli keluarga terbabit dengan aktiviti berkenaan,” katanya.

MUHAMMAD Syukur (kanan) bersama Khamis mengeluarkan ikan dari pukat di kawasan paya berdekatan kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu. FOTO ihsan Dallah Deen.
MUHAMMAD Syukur (kanan) bersama Khamis mengeluarkan ikan dari pukat di kawasan paya berdekatan kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu. FOTO ihsan Dallah Deen.

Menurutnya, memandangkan paya itu tidak jauh dari kandang kerbaunya, dia sudah sedia maklum dengan lubuk ikan yang terdapat di kawasan berkenaan.

“Paya itu luas dan jika menahan pukat di tempat kurang tepat, hasil tanggapan diperoleh tidak banyak.

“Oleh itu sebelum menahan pukat, saya dan ayah akan mengenal pasti terlebih dahulu lubuk atau kawasan yang dihuni banyak ikan,” katanya.

Menurutnya, selain bergelumang dengan tanah lumpur dia sudah terbiasa dengan serangan lintah ketika menjalankan aktiviti berkenaan.

“Jika takut atau geli pada lintah, aktiviti itu tidak boleh dijalankan kerana kurang daripada tiga minit lintah pasti hinggap di kaki untuk menghisap darah.

“Paya itu memang terkenal sebagai kawasan banyak lintah dan biasanya lintah menghuni paya itu bersaiz besar kerana paya sama turut menjadi kawasan kerbau berendam,” katanya yang tinggal di Kampung Banggol Katong.

Sementara itu, abangnya, Muhamad Alias Khamis, 30, berkata, aktiviti menangkap ikan air tawar di paya itu sudah menjadi aktiviti kegemaran mereka sekeluarga.

“Jika bukan Syukur membantu ayah menahan pukat di paya itu, saya dan adik beradik lain yang menyertainya.

“Adik beradik kami sudah diajar bergelumang dengan tanah lumpur dan menangkap ikan di paya sejak kecil.

“Walaupun agak mencabar, tetapi ia memberi keseronokan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, ikan ikan air tawar itu boleh dibeli di pasar sekiranya tidak menangkapnya sendiri.

Namun, katanya, menikmati ikan ditangkap sendiri lebih memberi kepuasan kepada mereka sekeluarga.

“Sekitar empat hingga enam kilogram ikan pelbagai jenis berjaya ditangkap dan tidak semua dimakan sendiri kerana sebahagiannya diagihkan kepada jiran terdekat.

“Keunikan aktiviti menangkap ikan di paya itu menyebabkan ada pengunjung datang dari jauh semata-mata untuk menyaksikan aktiviti berkenaan.

“Sekarang tidak hanya gelagat Syukur bermain dengan kerbau menjadi tarikan, tetapi aktiviti menangkap ikan di paya antara menghiburkan pengunjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 12:15 PM