Foto hiasan
Foto hiasan
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis mengarahkan 4,320 kenderaan berpatah balik di Selangor kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas sempadan dalam tempoh seminggu bermula 12 November hingga semalam.

Jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, jumlah itu termasuk dalam 594,769 kenderaan yang diperiksa dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

"Dalam tempoh 12 November hingga 19 November itu, polis menerima 66,776 permohonan pergerakan, daripada jumlah terbabit sebanyak 2,249 permohonan ditolak dan 64,527 diluluskan.

"Seperti mana digariskan kerajaan, permohonan rentas negeri ini hanya untuk urusan pekerjaan, kecemasan dan perubatan, jadi kebanyakan yang lulus adalah untuk tiga kategori itu.

"Permohonan yang tidak masuk akal ditolak. Permohonan untuk perayaan Deepavali, kenduri, ziarah keluarga juga ditolak.

"Untuk makluman tiada pergerakan menyambut perayaan dalam tempoh ini sebab itu ditolak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, sebanyak enam sekatan jalan raya (SJR)-Op Benteng Covid-19 dilaksanakan di kawasan Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam, Sepang, Klang Utara untuk tempoh yang sama.

"Seramai 60 hingga 80 anggota sepanjang penugasan membabitkan tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Polis juga turut melaksanakan 12 SJR secara 'mobile' (bergerak) di kawasan tumpuan ramai.

"Sebanyak 71 SJR PKPB pula dilaksanakan di susur keluar dan masuk lebuh raya membabitkan 1,400 hìngga 1,500 kekuatan anggota dari PDRM, ATM, RELA dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM)," katanya.

Beliau berkata, sejak PKPB di Selangor Oktober lalu, polis mengarahkan 483 pasukan task force menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Jumlah pemeriksaan task force yang dijalankan dalam tempoh itu membabitkan 11,862 premis

(restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan), 3,650 pasar raya, 2,009 terminal awam (darat, air, udara),

19,029 kenderaan persendirian, 846 pasar awam, 2,674 tempat ibadah dan 225 tapak pembinaan.

"Daripada semua pemeriksaan itu, 809 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, kesalahan paling ketara adalah tidak memakai pelitup muka membabitkan 179 individu dikenakan kompaun atas kesalahan ini.

"Dalam task force ini, polis juga berjaya menangkap lima lelaki Myanmar atas kesalahan tiada surat kebenaran rentas negeri dan dua wanita Indonesia di premis beroperasi tanpa kebenaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:33 PM