Mohamed Farid Noh

KIRA-KIRA 70 peratus permohonan rentas negeri diterima Polis Johor adalah untuk pulang beraya di kampung.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagaimanapun semua permohonan rentas negeri untuk pulang beraya itu ditolak.

Katanya, pihaknya menerima antara 1,000 sehingga 1,500 permohonan rentas negeri setiap hari yang dilakukan di balai polis seluruh negeri sejak beberapa hari lalu.

"Namun 70 peratus permohonan dengan alasan pulang beraya di kampung kita ditolak.

"Kita hanya benarkan rentas negeri bagi kes kecemasan sahaja. Oleh itu, jangan buang masa anda membuat permohonan jika itu alasannya mahu rentas negeri.

"Saya minta kerjasama orang ramai supaya jangan ambil kesempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dan jika masih terus berdegil, mereka akan diarahkan berpatah balik di pintu keluar negeri.

"Masih ada 33 Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan keluar negeri ini termasuk di lebuh raya, jalan negeri atau kampung dan jika tiada surat kebenaran akan diarahkan berpatah balik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

AYOB Khan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
AYOB Khan. FOTO Mohd Azren Jamaludin

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 4:39 PM