ANTARA kenderaan di arah berpatah balik disebabkan tiada kebenaran merentas negeri ketika di periksa di sekatan jalanraya (SJR) di Plaza Tol Gombak. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANTARA kenderaan di arah berpatah balik disebabkan tiada kebenaran merentas negeri ketika di periksa di sekatan jalanraya (SJR) di Plaza Tol Gombak. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Norzamira Che Noh

POLIS mengarahkan 377 kenderaan berpatah balik selepas didapati cuba merentas negeri tanpa mendapatkan kebenaran pihak polis semalam.

Jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, cubaan rentas negeri itu dikesan di sekatan jalan raya (SJR) di empat lokasi sempadan negeri dan tujuh plaza tol.

"Untuk sempadan negeri (interstate), kita melakukan SJR di empat daerah iaitu Kajang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sepang, manakala di plaza tol pula membabitkan tujuh daerah dengan 10 SJR.

"Untuk SJR di plaza tol, sebanyak 11,767 kenderaan diperiksa dan 270 diarahkan patah balik. SJR di sempadan negeri pula sebanyak 5,849 kenderaan diperiksa dan 107 diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai permit rentas negeri," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, pelbagai alasan diberikan orang awam untuk rentas negeri walaupun tidak mendapat permit polis.

Menurutnya, antara alasan yang paling banyak digunakan adalah mahu pulang melawat keluarga khususnya pada musim perayaan ini.

"Kami menasihatkan agar orang awam tidak bergerak merentas negeri jika tiada permit daripada polis dan teruskan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Perlu diingatkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh diadakan semula jika orang awam ingkar dengan arahan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata, polis menerima 24,188 permohonan rentas negeri pada 6 Mei hingga semalam dan 21,956 daripadanya sudah diluluskan.

Menurutnya, sehingga kini tiada tangkapan dibuat kerana orang awam yang diarahkan berpatah balik mengikut arahan pihak polis.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 6:38 PM