GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Tampin: Pekerja warga Bangladesh maut selepas dikatakan tertimbus di dalam lubang ketika sedang bekerja dekat sebuah tapak pembinaan perumahan dekat Gemencheh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, mangsa sempat diselamatkan pekerja lain dan dihantar ke klinik berdekatan, namun disahkan meninggal dunia lebih kurang 40 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam jam 10.50 pagi memberitahu mengenai kejadian itu.

"Mereka memaklumkan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah di sebuah tapak projek perumahan ketika sedang membuat kerja di dalam lubang di tapak binaan itu.

"Mangsa dikatakan diselamatkan pekerja binaan yang berada di lokasi dan mendapat rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Gemencheh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.25 pagi oleh doktor dari Klinik Kesihatan Gemencheh.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa berada di dalam lubang yang baru dikorek sedalam 7 kaki dan lebar lebih kurang 5 kaki untuk kerja pemasangan paip saluran najis bagi projek perumahan itu.

"Secara tiba-tiba tebing lubang dikatakan runtuh dan menimbus mangsa sehingga paras kepala.

"Mayat mangsa di bawa ke Hospital Tampin untuk tindakan selanjutnya. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:15 PM