Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan kejadian banjir di kawasan pantai bermula 14 hingga 16 November, jika hujan lebat monsun berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar.

Pengarahnya, Rabiah Al Adawiah Zakaria berkata, keadaan itu disebabkan fenomena Perigee dan bulan baru dan jika berlaku hampir serentak boleh menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.

Beliau berkata, keadaan sama diramalkan berlaku sekitar 12 sehingga 14 Disember yang boleh menyebabkan berlaku angin kencang dan laut bergelora, sekali gus penduduk sekitar pantai dan golongan nelayan perlu berwaspada.

Menurutnya, jika sudah ada amaran dikeluarkan, diharap nelayan tidak ke laut demi keselamatan diri dan perlu sentiasa mendapatkan maklumat terperinci untuk mengetahui keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

"Kami menjangkakan musim tengkujuh di Kelantan tahun ini hanya menyebabkan banjir biasa seperti 2019 dan tidak sebesar pada 2014.

"Selain itu, diramalkan hujan pada paras purata bagi November 2020 sehingga Mac 2021, kecuali sedikit melebihi paras purata pada Disember 2020, bermaksud hujan lebih lebat dijangka berlaku dalam tempoh terbabit.

"Keadaan itu ditambah dengan fenomena La Nina lemah yang berlaku menyebabkan cuaca menjadi lembap selain terdapat empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan," katanya pada sidang media di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah APM Kelantan, Zainuddin Hussin.

Rabiah berkata, jumlah hujan bulanan bagi November dijangkakan 530 sehingga 760 milimeter (mm), manakala Disember pula membabitkan 680 sehingga 790mm disebabkan hujan lebat.

Beliau berkata, jika hujan lebat berterusan melebihi enam jam, pihaknya menjangkakan jumlah hujan terkumpul dalam tempoh terbabit sebanyak 60mm.

"Jika ia berlaku, terdapat tiga peringkat penyebaran amaran iaitu waspada, buruk dan bahaya.

"Kami akan terus memberi khidmat terbaik dalam menyampaikan informasi kepada masyarakat secepat mungkin terutama menjelang musim tengkujuh ini.

"Bagi penduduk yang terdedah kepada banjir, mereka dinasihatkan berhati-hati dan mengambil langkah awal dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara jika kawasan mula dinaiki air," katanya.

RABIAH Al Adawiah Zakaria ketika sidang media dipusat Kawalam Operasi Daerah Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RABIAH Al Adawiah Zakaria ketika sidang media dipusat Kawalam Operasi Daerah Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 3:26 PM