Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di buka di Kelantan petang tadi membabitkan pemindahan 53 mangsa banjir, susulan hujan lebat sejak pagi tadi.

PPS berkenaan membabitkan dua daerah iaitu di Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Kota Bharu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Melor dan SK Tiong, manakala di Pasir puteh pula adalah Dewan Kompleks Kamil, di Pasir Puteh.

Berdasarkan portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pemindahan 53 mangsa banjir membabitkan 12 keluarga itu mulai jam 6 petang susulan kediaman mereka dinaiki air.

SK Tiong mencatatkan pemindahan mangsa paling ramai iaitu 53 mangsa membabitkan lapan keluarga. SK Melor pula membabitkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

PPS Dewan Kompleks Kamil pula merekodkan kemasukan empat beranak.

Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Memandangkan hujan lebat sehingga petang ini yang belum reda, dijangka lebih banyak PPS akan dibuka selepas ini.

Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 6.45 petang ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 8.54 meter iaitu melepasi tahap amaran lapan meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:18 PM