KEADAAN rumah penduduk di Kampung Iboi yang terjejas akibat banjir lumpur. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN rumah penduduk di Kampung Iboi yang terjejas akibat banjir lumpur. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Mustakim Ramli


LEBIH 10 rumah di Kampung Iboi terjejas akibat banjir lumpur, kelmarin dipercayai kesan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas.

Hujan lebat sejak jam 6 petang itu menyebabkan air Sungai Lata Celak melimpah dan memasuki rumah penduduk setinggi satu meter.

Bagaimanapun, air mulai surut sekitar jam 10 malam kelmarin.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Daerah Baling, Razak Ahmad berkata, banjir lumpur kali ini yang terburuk bagi penduduk Kampung Iboi kerana air masuk hingga ke dalam rumah.

“Sungai Lata Celak semakin cetek berikutan pasir serta tanah kesan projek itu sama tinggi dengan tebing sungai.

“Kami harap pihak berkaitan melakukan sesuatu sama ada meninggikan tebing sungai atau bersihkan pasir serta tanah di dalam sungai itu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

HUJAN lebat menyebabkan air Sungai Lata Celak melimpah. FOTO ihsan pembaca
HUJAN lebat menyebabkan air Sungai Lata Celak melimpah. FOTO ihsan pembaca

Beliau bimbang kejadian lebih buruk mungkin berlaku sekiranya tindakan segera tidak diambil.

“Seperti petang semalam (kelmarin), hujan renyai-renyai sahaja namun boleh berlaku banjir lumpur.

“Ini disebabkan hujan lebat di atas gunung iaitu kawasan projek tanaman Musang King. Penduduk tak sempat buat sebarang persediaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, banjir itu berlaku tiga jam sebelum air mulai surut jam 10 malam.

“Tiada pusat pemindahan sementara dibuka. Berdasarkan laporan penghulu mukim, 24 rumah terbabit dalam kejadian itu manakala sekitar 10 rumah terjejas.

“Punca kejadian disebabkan hujan lebat di kawasan Gunung Inas yang menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penduduk yang tinggal di bawah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:30 AM