CHE Adam (kanan) bersama pegawai dan anggotanya melakukan pemantauan peningkatan paras air laut berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Batu Buruk. FOTO Ghazali Kori
CHE Adam (kanan) bersama pegawai dan anggotanya melakukan pemantauan peningkatan paras air laut berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Batu Buruk. FOTO Ghazali Kori
Fitri Nizam

BENCANA banjir yang menghantui sebahagian besar penduduk negeri ini dijangka sudah berakhir untuk tahun ini berikutan keadaan cuaca baik diramalkan walaupun mengalami fenomena air pasang besar.

Bagaimanapun, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu tidak menolak kemungkinan gelombang ketiga banjir melanda negeri ini sekitar Januari tahun depan.

Ketuanya, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abd Rahman berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan laporan Jabatan Metreologi Malaysia (MetMalaysia) yang menunjukkan cuaca baik diramalkan berlaku di negeri ini sehingga penghujung Disember.

"Bagaimanapun, semua pasukan keselamatan sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan luar jangkaan terutama di kawasan yang mengalami fenomena air pasang besar.

"Jika hujan lebat melanda di kawasan berkenaan kemungkinan banjir boleh berlaku kerana pertembungan peningkatan paras air laut dengan air hujan," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan fenomena air pasang besar di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Terengganu berkata, jika dalam tempoh fenomena ini tidak berlaku hujan lebat justeru bencana banjir dijangka tidak berlaku.

"Bagaimanapun, jika berlaku hujan lebat kita menjangkakan hanya kawasan berisiko yang terjejas terutama kawasan di pesisir pantai.

"Kita memantau perkembangan semasa di negeri ini serta merujuk keadaan cuaca dengan MetMalaysia supaya sentiasa dapat berwaspada jika berlaku sebarang bencana luar jangkaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 11:27 AM