Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Jangkaan kejadian banjir di kawasan pantai di negeri ini bermula 14 hingga 16 November ini tidak begitu menggusarkan penduduk di sepanjang Pantai Kundor dan Pantai Mek Mas, di sini.

Ia berikutan pembinaan benteng penahan ombak sejak awal tahun ini dilihat mampu menahan terjahan ombak yang sebelum ini menjejaskan kediaman penduduk serta mengakibatkan hakisan.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Kelantan hari ini memaklumkan jangkaan fenomena banjir di kawasan pantai akan terjadi jika hujan lebat monsun berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar.

Penduduk Kampung Pantai Kundor, Suhaiza Mat Zin, 33 berkata, kejadian banjir pantai diramalkan itu tidak mendatangkan kebimbangan berbanding sebelum pembinaan benteng penahan ombak yang menyebabkan hidup mereka empat beranak dalam ketakutan.

"Ketika ia (benteng penahan ombak) belum dibina, ombak masuk sehingga ke dalam rumah menerusi lubang angin dan menerpa bumbung sehingga menyebabkan banyak kerosakan berlaku.

"Selepas pembinaannya kini, sudah banyak kali berlaku angin pasang menyebabkan kejadian ombak besar, tapi hanya percikannya sahaja terkena rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari pantai.

Suhaiza berkata, 'serangan' ombak sebelum ini menyebabkan banyak kerosakan berlaku termasuk empat bilik tidur musnah akibat hakisan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Al Adawiah Zakaria berkata, pihaknya meramalkan kejadian itu disebabkan fenomena Perigee dan bulan baru yang jika berlaku hampir serentak boleh menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.

Keadaan sama diramalkan berlaku sekitar 12 sehingga 14 Disember ini yang boleh menyebabkan berlaku angin kencang dan laut bergelora, sekali gus mengingatkan penduduk sekitar pantai dan golongan nelayan perlu berwaspada.

Ketika tinjauan di Pulau Kundor, hari ini, cuaca kelihatan mendung dan air pasang menyebabkan ombak agak besar menghempas benteng penahan.

Penduduk, Nik Abdul Aziz Nik Mamat, 65, berkata, majoriti nelayan sudah tidak turun ke laut kerana keadaan cuaca tidak menentu dan ombak besar mula membadai.

NIK Abd Aziz ketika ditemui selepas meninjau keadaan ombak dan laut yang bergelora di benteng penahan ombak berhampiran kediaman mereka di Pantai Pulau Kundur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NIK Abd Aziz ketika ditemui selepas meninjau keadaan ombak dan laut yang bergelora di benteng penahan ombak berhampiran kediaman mereka di Pantai Pulau Kundur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, dia sudah hampir sebulan tidak keluar menangkap ikan dan bercadang untuk mengambil peluang membersihkan dan membaiki bot fibernya.

"Situasi ketakutan pada masa kini tidak sama seperti sebelum benteng penahan ombak dibina dahulu apabila walaupun jaraknya kira-kira 50 meter dari pantai, ombak tetap menghempas dan air memenuhi halaman rumah.

"Kini saya lima beranak mampu tidur lena setiap malam tanpa perlu berasa risau jika rumah dipenuhi air yang boleh merosakkan dinding dan binaan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 8:06 PM