AFP

Recife, (Brazil): Angka korban akibat hujan lebat di timur laut Brazil kini mencecah 79 orang dan puluhan lagi masih hilang.

Pihak berkuasa pertahanan awam bagi negeri Pernambuco dalam kenyataan memaklumkan jumlah korban itu yang membabitkan bandar Recife dan Olinda adalah setakat 6 petang (2100 GMT) Ahad.

Bencana itu yang terbaharu dalam siri tanah runtuh dan banjir yang dihadapi Brazil ketika ini, akibat daripada cuaca melampau.

Jumlah kematian meningkat berterusan sejak hujung minggu lalu, termasuk puluhan tanah runtuh berikutan hujan lebat yang menyebabkan arus deras dan lumpur.

Maklumat terkini orang hilang tidak dinyatakan, namun pertahanan awam sebelum ini melaporkan 56 orang masih belum ditemui dan hampir 4,000 kehilangan tempat tinggal.

Gabenor Pernambuco, Paulo Camara berkata, hingga kini masih tiada jumlah tepat kehilangan mangsa, tetapi pihak berkuasa terus menerima laporan penduduk hilang.

"Pencarian akan diteruskan sehingga kita dapat mengenal pasti semua yang hilang," katanya.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan diramalkan berterusan sehingga Isnin tetapi ribut semakin reda.

Sementara itu 1,200 kakitangan penyelamat menggunakan bot dan helikopter meneruskan kerja mencari dan menyelamat penduduk.

Menteri Kemajuan Wilayah, Daniel Ferreira menggesa semua pihak agar berhati-hati.

"Meskipun hujan sudah berhenti, kita menjangkakan berlaku hujan lebat untuk beberapa hari akan datang. Jadi perkara penting adalah mengekalkan langkah perlindungan diri," katanya.

Taburan hujan antara Jumaat malam dan pagi Sabtu mencapai 70 peratus daripada ramalan sepanjang Mei di beberapa bahagian Recife.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 9:18 AM
PASUKAN keselamatan menyelamatkan individu yang cuba mengalihkan mayatsaudaranya di kawasan runtuhan akibat hujan lebat di kejiranan Jardim Monteverde di Jaboatao dos Guararapes, Brazil. FOTO EPA.
PASUKAN keselamatan menyelamatkan individu yang cuba mengalihkan mayatsaudaranya di kawasan runtuhan akibat hujan lebat di kejiranan Jardim Monteverde di Jaboatao dos Guararapes, Brazil. FOTO EPA.