DUA bot berkuasa tinggi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di perairan Sabah bagi memastikan keselamatan pulau peranginan sekitar ESSZONE, Lahad Datu dan Semporna, Sabah.  FOTO arkib NSTP
DUA bot berkuasa tinggi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di perairan Sabah bagi memastikan keselamatan pulau peranginan sekitar ESSZONE, Lahad Datu dan Semporna, Sabah. FOTO arkib NSTP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok dilanjutkan sehingga 16 November.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.

"Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

"Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:18 AM