ROHAIZAT (kanan belakang) bersama Mariam (kiri) dan enam anak mereka. FOTO ihsan Jalilah Awang Kenit
ROHAIZAT (kanan belakang) bersama Mariam (kiri) dan enam anak mereka. FOTO ihsan Jalilah Awang Kenit

Kuala Lumpur: Berat ujian ditanggung suami isteri, Rohaizat Ashikin Ismail, 45, dan Mariam Osman,39, apabila dua daripada enam anaknya menghidap penyakit berkaitan masalah pernafasan, 'Congenital Central Hypoventilation Syndrome' (CCHS) sejak lahir.

Menurut Rohaizat, penyakit itu menyebabkan anak keempat, Mohd Haris Asraf, 7, dan Aira Arissa, 3, memerlukan bantuan mesin pernafasan ketika tidur sepanjang hayat mereka.

Katanya, selain CCHS, Mohd Haris turut menghidap Hirsprung sejak lahir yang menyebabkan usus besarnya membengkak dan terpaksa memakai beg stoma.

Manakala, adiknya Aira pula mengalami Non-Ketotic Hipoglisemia iaitu paras gula rendah yang boleh menyebabkan berlakunya sawan.

Rohaizat yang menetap di Bukit Beruntung berkata, keluarganya menerima bantuan bulanan sebanyak RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 lagi disumbangkan Pusat Zakat Selangor (PZS) yang turut menyumbang mesin bantuan pernafasan buat kedua-dua anaknya.

Namun, bantuan diterima itu tidak mencukupi kerana dia dan isteri perlu bersiap sedia dengan wang untuk menyelenggara dan menukar alat penapis mesin bantuan pernafasan selain menyara empat lagi anak yang masih bersekolah.

AIRA Arissa menghidap CCHS sejak lahir yang menyebabkannya bergantung dengan mesin bantuan pernafasan ketika tidur. FOTO ihsan Jalilah Awang Kenit
AIRA Arissa menghidap CCHS sejak lahir yang menyebabkannya bergantung dengan mesin bantuan pernafasan ketika tidur. FOTO ihsan Jalilah Awang Kenit

"Kedua-dua anak saya itu zahirnya kelihatan normal, boleh berjalan, makan dan lain-lain lagi.Hakikatnya, mereka menderita akibat penyakit itu dan memerlukan mesin bantuan pernafasan untuk terus bertahan.

"Sejak kecil lagi mereka bergantung dengan mesin itu dan mulanya 24 jam sehari tetapi kini pada waktu tidur saja selepas dilatih dengan nasihat doktor sejak peringkat awal.

"Bateri mesin itu boleh bertahan selama lima jam saja jadi jika rumah tiada bekalan elektrik, saya dan isteri perlu segera membawa anak ke hospital, kebiasaannya Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan bantuan kecemasan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Harris menghidap CCHS dan Hirsprung yang menyebabkannya memakai beg stoma. FOTO ihsan Jalilah Awang Kenit
MOHD Harris menghidap CCHS dan Hirsprung yang menyebabkannya memakai beg stoma. FOTO ihsan Jalilah Awang Kenit

Demi menampung perbelanjaan keluarga, Rohaizat bekerja sepenuh masa sebagai pemandu e-hailing.

Menurut Rohaizat, dia bekerja selama 12 jam sehari dengan mengambil penumpang di sekitar Lembah Klang.

"Dulu, saya bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang tetapi mengambil keputusan berhenti dan menjadi pemandu e-hailing sejak dua tahun lalu kerana waktu pekerjaan ini lebih fleksibel.

"Jadi, saya tidak terlalu terikat dengan masa berbanding pekerjaan dulu yang menyebabkan saya kerap mengambil untuk membantu isteri menguruskan anak.

"Secara purata, saya boleh meraih kira-kira RM1,000 setiap bulan namun sebahagian pendapatan diperoleh perlu digunakan untuk membayar sewa kereta yang berjumlah RM50 sehari," katanya.

Katanya, tanggungjawab itu digalasnya sendiri kerana isterinya tidak bekerja.

"Buntu saya memikirkan kemungkinan di kemudian hari kerana bilangan penumpang semakin berkurangan jadi pendapatan agak terjejas.

"Keadaan itu berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), 14 Oktober lalu mungkin kerana ramai yang sudah mula bekerja dari rumah dan takut untuk keluar," katanya.

Terdahulu, kesempitan hidup keluarga Ruhaizat mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah menerusi penggeraknya, Jalijah Awang Kenit yang hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mereka, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 2:54 PM