TINGKAT atas rumah didiami empat dewasa dan enam kanak-kanak musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung, Saratok, hari ini. FOTO Khalid Latip.
TINGKAT atas rumah didiami empat dewasa dan enam kanak-kanak musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung, Saratok, hari ini. FOTO Khalid Latip.
Khalid Latip


LELAKI berusia 50 tahun terpaksa merangkak meredah asap untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan rumah dua tingkat di Kampung Tanjung, Saratok, petang hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, mangsa dipercayai sedang tidur di tingkat dua rumah berkenaan sebelum terjaga sejurus terdengar jeritan anggota keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazry Mohamat, berkata mangsa berjaya mencari jalan keluar dan tidak cedera.

Beliau berkata, kebakaran memusnahkan 50 peratus rumah separuh kekal itu yang didiami 10 sekeluarga membabitkan empat dewasa dan enam kanak-kanak.

“Kami difahamkan, ketika kebakaran beberapa penghuninya sibuk membuat persiapan untuk majlis kenduri, manakala seorang daripadanya sedang tidur di tingkat atas.

“Anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 3.56 petang,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati api sedang marak di tingkat atas, manakala semua penghuninya sudah keluar dari rumah itu.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan tingkat atas dan tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang api merebak ke tingkat bawah serta rumah berhampiran.

Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.22 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 9:40 PM