Siti Rohana Idris


Tumpat: "Dalam keadaan panik, saya terlupakan cucu saudara yang sedang tidur dalam buaian sebaliknya terus mencapai dua beg dan keluar dari rumah memandangkan api sudah merebak," kata Rosidah Yusof, 61.

Rosidah berkata, menyedari sedang memakai telekung, dia kembali ke dalam rumah untuk mengambil pakaian sebelum ternampak cucu saudaranya berusia lapan bulan di dalam buaian di ruang tamu.

"Saya terus mengangkat dan mendukungnya keluar dari rumah, pada masa sama api sedang marak di beberapa bahagian rumah.

"Nasib baik hati tergerak untuk masuk semua ke dalam rumah, jika tidak sudah pasti cucu saudara ini terkorban dalam kebakaran," katanya ketika ditemui di Kampung Dalam Rhu di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang hari ini, dua rumah jenis separuh kekal hangus 100 peratus menyebabkan dua keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Rosidah berkata, sebelum kejadian, dia baru selesai solat Zuhur selepas menidurkan cucu saudaranya, Afdiani Dafiri Saripuddin manakala suaminya, Wan Ahmad Wan Yusof, 79, sedang tidur.

"Saya terdengar bunyi letupan kecil dari rumah sebelah kemudian terasa bahang sebelum membuka tingkap dan ternampak api sedang membakar rumah jiran.

"Ia menyebabkan saya panik kerana api semakin merebak ke kediaman kami," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.06 petang dan anggota daripada BBP Tumpat, Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu dikejar ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik tiba, api sedang marak dan pihaknya bertungkus lumus mengawal api daripada merebak ke rumah lain memandangkan jarak yang dekat antara satu sama lain.

"Api berjaya dikawal pada 3.30 petang dan padam sepenuhnya sejam selepas itu manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Aziz Mohamad, 54, berkata, dia lari menyelamatkan diri dengan hanya bertuala kerana ingin mandi sebelum ternampak percikan api daripada wayar sambungan elektrik yang menghubungkan enjin air di dalam rumahnya.

Dia berkata, wayar itu kemudiannya terputus dan terjatuh ke dalam tong sampah serta menyambar langsir menyebabkan berlaku api terus marak.

"Apabila melihat keadaan itu, saya terus keluar dari rumah dengan keadaan bertuala sebelum jiran memberikan pakaian.

"Semuanya tidak dapat diselamatkan termasuk wang tunai hampir RM3,000 milik anak perempuan yang menjalankan perniagaan burger di hadapan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 6:36 PM