ANGGOTA bomba memeriksa kesan kebakaran dua rumah di Jalan Apas Batu 14, Tawau, pagi ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memeriksa kesan kebakaran dua rumah di Jalan Apas Batu 14, Tawau, pagi ini. FOTO ihsan bomba
Abdul Rahemang Taiming


SEORANG ibu nekad menggadai nyawa dengan meredah api dalam keadaan berkemban demi menyelamatkan bayinya berusia 16 bulan dalam kebakaran di Kampung Batu 14 Jalan Apas, Tawau, pagi ini.

Kebakaran pada 10.30 pagi itu memusnahkan dua rumah papan dan ketika kejadian, Ratna Beddu, 44, sedang mandi manakala bayi lelakinya, Yazid Marsuki, tidur dalam buaian di sebuah bilik.

Ratna berkata, dia terdengar jeritan jiran meminta mereka anak beranak keluar kerana api sedang merebak membakar dinding rumah.

“Saya hanya sempat capai kain sarung dan dalam keadaan berkemban berlari keluar untuk menyelamatkan diri sebelum tersedar bayi masih dalam bilik tidur.

“Tanpa mempedulikan keselamatan diri, saya masuk semula dan terus meredah api untuk selamatkan bayi saya," katanya ketika ditemui.

Ratna berkata, ketika kejadian dua lagi anaknya berada di sekolah sementara suaminya keluar bekerja.

Seorang lagi mangsa, Norhayati Hatutu, 38, tidak menyangka hajatnya pergi ke pasar berhampiran untuk membeli barang dapur menyelamatkan mereka enam sekeluarga daripada kebakaran.

"Saya terkejut sebaik pulang dari pasar, rumah sudah terbakar. Tiada apa yang dapat diselamatkan," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Sharudy Delamin berkata, seramai 15 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.36 pagi dan berjaya mengawal kebakaran pada 11.20 pagi.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 4:41 PM