Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Warga asing yang bekerja di sektor pembinaan dan pengawal keselamatan di negara ini diwajibkan membuat ujian calitan (swab) Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk warga asing yang pernah membuat ujian itu sebelum ini.

Menurutnya, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju supaya pekerja warga asing di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan melakukan ujian itu.

"Kita juga bersetuju bahawa mereka (warga asing) di kawasan PKPB perlu membuat ujian swab semula.

"Bagi pekerja warga asing yang majikan mereka mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ujian swab adalah percuma," katanya dalam sidang media hari ini.

WARGA asing yang bekerja di sektor pembinaan dan pengawal keselamatan diwajibkan membuat ujian calitan Covid-19. FOTO Arkib NSTP
WARGA asing yang bekerja di sektor pembinaan dan pengawal keselamatan diwajibkan membuat ujian calitan Covid-19. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia memberitahu pekerja di Malaysia termasuk pekerja asing adalah pencarum Perkeso.

Oleh itu, katanya, segala kos ujian swab di kalangan pekerja asing yang mencarum juga akan ditanggung oleh Perkeso.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 5:45 PM