Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Bagi merancakkan semula sektor pelancongan domestik, kerajaan membenarkan penduduk di negeri zon hijau untuk merentas daerah bermula Ahad ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan rentas daerah di negeri zon hijau tidak memerlukan kebenaran daripada polis.

Menurutnya, mereka yang tinggal di negeri zon hijau, namun bercuti di negeri zon hijau lain dan perlu merentasi negeri zon merah wajib mendapatkan kebenaran daripada polis.

Katanya, mereka perlu mengemukakan bukti dan senarai aktiviti serta lokasi percutian supaya dibenarkan melalui negeri zon merah.

"Selain itu, kebenaran polis juga diperlukan bagi penduduk negeri hijau yang bercuti di daerah hijau, namun negeri berkenaan masih dikategorikan sebagai negeri merah.

"Kelonggaran bagi membolehkan sektor pelancongan yang terjejas teruk kembali rancak selepas mengambil kira cadangan dikemukakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya," katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Kementerian Sumber Manusia mencadangkan semua pekerja warga asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan diwajibkan menjalani ujian calitan.

Katanya, setakat 31 Oktober lalu, terdapat lebih 1.6 juta pekerja asing di Malaysia khususnya di negeri yang mempunyai banyak kawasan perindustrian.

"Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju agar saringan kesihatan jenis RTK– Antigen diwajibkan ke atas semua (pekerja asing) di negeri berkenaan bagi mengurangkan risiko keberjangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.

"Bagi Pekerja Warga Asing yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kos ujian saringan ditanggung bersama pihak majikan dan Perkeso dengan RM60 boleh dituntut.

"Majikan pula perlu menanggung sepenuhnya kos saringan sekiranya pekerja warga asing bukan pencarum Perkeso," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:47 PM