J Arul Kumar gesa golongan pekerja sendiri buat caruman Perkeso. FOTO NSTP
J Arul Kumar gesa golongan pekerja sendiri buat caruman Perkeso. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan melancarkan kempen kesedaran bertujuan memberi penerangan kepada golongan bekerja sendiri mengenai kepentingan mendaftar dan mencarum dengan agensi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata, golongan itu perlu mengambil peluang untuk membuat caruman secara bulanan kepada Perkeso.

“Kerajaan Persekutuan sudah membuka ruang kepada golongan bekerja sendiri untuk mencarum dengan Perkeso sebagai langkah keselamatan untuk diri sendiri dan keluarga.

“Sebelum ini, skim ini diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas, tetapi kini sudah diperluaskan kepada 19 sektor lain mulai Januari lalu.

“Justeru, Perkeso negeri mengambil inisiatif mengadakan kempen kesedaran untuk menyampaikan maklumat kepada golongan pekerja sendiri supaya memanfaatkan peluang mencarum dengan Perkeso,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjayakan kempen itu di kawasan Medan Selera Ampangan, Seremban, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso negeri, M Nallusamy.

Arul berkata, individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah skim itu akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 87 individu daripada golongan terbabit dari pelbagai sektor sudah mendaftar dengan agensi itu.

“Statistik Kementerian Sumber Manusia mendapati seramai 81,000 individu yang bekerja sendiri di seluruh Negeri Sembilan dan ini menunjukkan ramai dalam kalangan mereka belum mencarum dengan Perkeso.

“Perkeso negeri berharap golongan bekerja sendiri dapat tampil berbuat demikian supaya mereka dilindungi sekiranya berlaku perkara tidak diingini atau menyebabkan hilang punca pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:46 PM