FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang


MAJIKAN menggajikan pekerja asing daripada pelbagai sektor pekerjaan diminta mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing.

Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, berkuat kuasa awal tahun ini, semua yang pekerja asing mempunyai permit kerja sah, wajib didaftar dan mencarum dengan PERKESO.

Katanya, skim itu memberi perlindungan kepada pekerja asing yang mengalami kemalangan atau penyakit berpunca daripada pekerjaan.

“Setakat ini, majikan di negeri ini yang menggajikan pekerja asing sudah ada yang berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Kita harap lebih ramai majikan mematuhi peraturan ini bukan sahaja bagi mengelak dikenakan tindakan, tapi lebih penting ialah bagi menjaga kebajikan pekerja mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Program Seranta PERKESO untuk Pekerja Asing peringkat negeri yang dilancarkan baru-baru ini, beliau berkata, program itu dihadiri 100 majikan dari Kuantan, Maran, Rompin, Muadzam Shah dan Pekan yang terbabit dalam sektor perladangan, perkhidmatan, peruncitan, pembinaan dan perkilangan.

“Selain taklimat daripada PERKESO, majikan turut mendapat maklumat daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja (JKT) berhubung kaedah atau prosedur pengambilan pekerja asing,” katanya.

Berkuatkuasa 1 Januari lalu, semua majikan menggaji pekerja asing dengan dokumen sah, diwajibkan mendaftarkan pekerja mereka dengan PERKESO dan menyumbang kepada Skim Bencana Pekerjaan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Manfaat skim ini termasuklah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun kehadiran berterusan, faedah dan pemulihan tanggungan serta kos penghantaran balik RM6,500 termasuk pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 10:16 AM