Norlizah (kanan) menyerahkan sumbangan makanan menerusi projek Rak Kongsi Rezeki di masjid dan surau sekitar Kudat. FOTO ihsan Pasukan Kongsi Rezeki
Norlizah (kanan) menyerahkan sumbangan makanan menerusi projek Rak Kongsi Rezeki di masjid dan surau sekitar Kudat. FOTO ihsan Pasukan Kongsi Rezeki
Suzanna Maidan

Kudat: Menyedari kesukaran segelintir penduduk yang kurang berkemampuan terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), usahawan muda dari daerah ini memulakan projek Rak Kongsi Rezeki 12 Oktober lalu.

Norlizah Gurahman, 33, berkata, Rak Kongsi Rezeki itu menyediakan pelbagai keperluan makanan termasuk beras, tepung, gula, minyak masak, telur, susu, makanan dalam tin dan biskut, diletakkan di 15 masjid serta surau sekitar Kudat.

"Usaha ini saya lakukan dengan bantuan rakan-rakan untuk menghantar dan mengatur barangan keperluan.

"Bantuan ini adalah untuk membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan PKPB, dan sebagai anak jati Kudat, saya mahu berkongsi rezeki untuk membantu mereka," katanya di sini.

Norlizah berkata, beliau dan pasukan Rak Kongsi Rezeki akan sentiasa memantau serta menambah stok makanan di semua rak berkenaan.

"Kita mahu stok itu sentiasa ada dan dapat dinikmati oleh saudara kita yang memerlulannya," katanya sambil berharap lebih ramai penduduk tahu bantuan yang diberikan itu.

Antara masjid dan surau menerima sumbangan itu ialah Masjid Akmal Landung Ayang ; Masjid An-Nur Kampung Ayer; Masjid Nurul Hikmah Kampung Gumpai; Masjid Ar Riyasi Tanjong Kapor;Masjid Jamek Kampung Pengaraban; Masjid Asyakirin; Masjid Al-ihsan PPR Taman Ehsan dan Masjid Ubudian Pekan Sikuati.

Selain itu, Masjid Ar Rahman Muhibbah; Masjid Imam Hj Dusaan Kampung Korina; Masjid Tun Mustapha; Masjid Al-Badar Kampung Parapat Laut; Surau Kampung Milau dan Surau Nur Budiman Kampung Pantai Bahagia.

Usahawan muda itu turut mengajak lebih ramai anak muda berkhidmat dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan terutama keperluan makanan ketika PKPB dilaksanakan.

Sabah dikenakan PKPB bermula 13 Oktober sehingga 26 Oktober nanti, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 11:30 AM