Gambar fail, Ayob Khan. FOTO NSTP.
Gambar fail, Ayob Khan. FOTO NSTP.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tindakan tegas menanti mana-mana individu di Johor yang melanggar arahan perintah pengawasan kuarantin di rumah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, amaran itu buat semua pihak yang dikenakan perintah berkenaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sehingga membahayakan keselamatan awam.

"Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu yang sengaja ingkar dan melanggar perintah pengawasan kuarantin di rumah sehingga memperjudikan keselamatan masyarakat.

"Tindakan tegas juga akan diambil Polis Johor kepada individu yang melanggar arahan kuarantin di pusat kuarantin diwartakan, termasuk jika tidak membayar kos penginapan 14 hari.

"Setakat ini, kaedah digunakan yang mana polis memantau individu dikuarantin di rumah mengikut senarai KKM. Kita pastikan mereka berada di rumah mengikut tempoh 14 hari ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan masyarakat terhadap pematuhan individu yang diperintah menjalani kuarantin di rumah berikutan terdapat dakwaan, ada individu yang gagal patuh arahan itu.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihaknya juga masih melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19 sejak Mac lalu.

"Peningkatan penguatkuasaan ini juga bergantung kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa. Sehingga Khamis lalu, 3,201 individu di negeri ini dikompaun kerana melanggar SOP sejak 18 Mac," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 1:36 PM