Mohamed Farid Noh

Pasir Gudang: Polis Johor mengambil langkah lebih drastik mengetatkan pemantauan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) di zon merah mulai esok terutama di kawasan penempatan pekerja asing dan individu dikuarantin di rumah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 500 pasukan pemantauan akan digerakkan bagi tugasan pemantauan dan pemeriksaan lebih ketat.

Katanya, sebelum ini hanya 250 pasukan pemantauan digerakkan di seluruh Johor bagi memantau dan meronda kawasan awam berisiko susulan kes jangkitan harian Covid-19 di Johor yang melonjak.

"Kita tambah 250 lagi pasukan pemantau menjadi 500 pasukan membabitkan 1,500 anggota terdiri dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Selain kawasan penempatan pekerja asing termasuk di asrama, kita juga akan menumpukan pesakit Covid-19 ringan yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah kerana dua golongan ini sangat berisiko tinggi.

"Polis Johor juga sedang menanti laporan penuh data terkini pesakit Covid-19 ringan yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah bagi membolehkan pemantauan pematuhan arahan itu dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

AYOB Khan (tengah) bersama pasukan polis Johor membuat pemeriksaan mengejut di asrama pekerja di kawasan Pasir Gudang yang menempatkan pekerja warga asing dan tempatan. FOTO ZAIN AHMED
AYOB Khan (tengah) bersama pasukan polis Johor membuat pemeriksaan mengejut di asrama pekerja di kawasan Pasir Gudang yang menempatkan pekerja warga asing dan tempatan. FOTO ZAIN AHMED

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan mengejut di asrama pekerja asing dan tempatan di Rumah Pangsa Taman Air Biru di sini, hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan meninjau penempatan asrama pekerja asing yang diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah HSO berikutan kewujudan kluster jangkitan di kawasan industri berkenaan.

Katanya, beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP di asrama pekerja asing berkenaan dalam pemeriksaan yang dibuat secara mengejut.

"Pemantauan dan pemeriksaan secara mengejut akan kita tingkatkan bagi memastikan kadar jangkitan dapat diturunkan.

"Setakat ini kadar pematuhan SOP di Johor pada tahap 97 peratus namun ia perlu ditingkatkan lagi bagi memastikan keluk jangkitan dapat dilandaikan, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:07 PM