GAMBAR hiasan. FOTO Adnan Ibrahim
GAMBAR hiasan. FOTO Adnan Ibrahim
Mohamed Farid Noh


CARI makanan sedap, jumpa teman wanita dan bosan duduk di rumah antara alasan yang kerap digunakan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak berkuasa bagaimanapun tidak berkompromi terhadap golongan ingkar PKP yang kerap menggunakan alasan tidak munasabah apatah lagi PKP memasuki fasa ketiga Khamis ini.

Katanya, polis mengesan trend yang semakin meningkat golongan ingkar PKP menjelang PKP fasa ketiga yang menggunakan alasan remeh untuk keluar rumah.

“Malah trend berhibur beramai-ramai di unit apartmen atau kondominium yang disewa khas juga semakin meningkat di Johor sedangkan ia secara terang melanggar PKP.

“Mereka yang gemar berhibur di unit apartmen dan kondominium termasuk mengadakan parti liar ini adalah golongan muda antara usia belasan tahun hingga 30 tahun dan kebanyakan mereka positif dadah apabila ujian air kencing dilakukan.

“Jangan ingat berhibur dan buat parti liar di apartmen dan kondominium ini selamat kerana polis ada di mana-mana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

AYOB Khan ketika sidang media di IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
AYOB Khan ketika sidang media di IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, golongan yang ingkar PKP juga dilihat seolah-olah tidak gentar dengan kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka yang ingkar arahan berkenaan.

“Ini kerana jumlah yang ingkar PKP semakin meningkat kebelakangan ini berbanding fasa awal perintah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis juga sudah meningkatkan rondaan di kawasan tempat tinggal warga asing di negeri ini bagi memastikan golongan berkenaan tidak ingkar PKP.

“Rondaan dijalankan sepanjang masa dan kita sudah bahagikan penugasan kepada anggota dan warga asing yang ingkar akan ditahan bagi tindakan susulan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 5:14 PM