DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay melihat barang rampasan Ops Dadu. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay melihat barang rampasan Ops Dadu. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 533 individu terbabit dengan aktiviti judi dalam talian di Johor ditahan Polis Johor sejak Januari hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan 307 serbuan dilakukan melalui Ops Dadu.

Katanya, individu yang ditahan membabitkan 318 penjaga premis dan 215 pelanggan.

"Sejumlah 522 telefon bimbit, 20 tablet, satu komputer riba, satu komputer serta wang tunai berjumlah RM99,560 yang turut disita.

"Polis Johor melancarkan operasi terancang terhadap kesemua jenis perjudian khususnya judi dalam talian malah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga, didapati aktiviti ini masih beroperasi secara bersembunyi.

"Sejak 1 Mei hingga Ahad lalu, polis Johor menerusi Bahagian Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian, Jabatan Siasatan Jenayah berjaya menahan 57 individu menerusi 25 serbuan di negeri ini yang terbabit dengan aktiviti judi dalam talian.

"Polis turut merampas 59 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM14,827, menerusi serbuan berkenaan, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata kesemua individu itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, sejak Januari hingga Ahad lalu, polis turut menyerbu 10 premis yang digunakan sebagai pusat panggilan (calling centre) judi dalam talian dan menahan 118 individu selain merampas 301 telefon bimbit, 26 komputer riba, 41 komputer serta wang tunai RM60,000.

"Bagi tujuan pembanterasan dan pencegahan kegiatan judi atas talian, seramai 44 individu dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sejak Januari hingga Ahad lalu membabitkan 13 lelaki dan dua wanita tempatan serta 26 lelaki dan tiga wanita warga asing berumur lingkungan antara 20 dan 37 tahun.

"Lapan daripada mereka dikenakan tindakan pengawasan manakala 36 yang lain dikenakan tindakan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam dekat Kluang," katanya.

Ayob Khan berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan kegiatan judi dalam talian dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:14 PM