Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika sidang media. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika sidang media. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 866 jemaah tabligh Himpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling dari negeri ini masih gagal tampil dan membuat saringan kesihatan seperti diarahkan kerajaan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran, jika mereka masih ingkar, pihaknya akan menjejaki mereka selain berdepan tindakan perundangan.

“Kita sudah seru dan rayu secara baik sebelum ini namun selepas ini polis akan terus bertindak malah kita sedang mengenal pasti kesemua mereka bagi tindakan lanjut.

“Terdapat 2,086 jemaah tabligh dari Johor yang menyertai himpunan di Masjid Sri Petaling itu dengan 1,220 daripadanya sudah tampil dan membuat saringan kesihatan.

“Seramai 866 lagi jemaah tabligh pula masih belum tampil dan kita akan kesan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, 73 jemaah tabligh yang menyertai Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia, sudah pulang menerusi laluan laut.

“Terdapat sembilan siri kepulangan mereka menerusi dua pintu masuk iaitu Terminal Feri Antarabangsa Stulang dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

“Kesemua 73 jemaah tabligh itu melalui proses saringan di pintu masuk berkenaan dan didapati negatif Covid-19 namun diarah menjalani kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing, ” katanya.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan dua kawasan di Simpang Renggam, Ayob Khan berkata, pihaknya merekodkan kes pertama ingkar arahan PKPD malam semalam.

Katanya, ia membabitkan dua lelaki berusia 20-an yang cuba melepasi sekatan jalan di kawasan PKPD berkenaan.

“Pada kejadian 8.45 malam semalam, dua lelaki itu berkelakuan mencurigakan sebelum cuba melepasi sekatan di Parit Linau, Simpang Renggam.

“Pemeriksaan menemukan 0.6 heroin disembunyikan dalam beg seorang daripadanya.

“Kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan kerana mengingkari PKPD selain memiliki dadah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 7:23 PM