GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor memberi amaran akan terus mengeluarkan kompaun ke atas individu atau kumpulan yang berkumpul di mana-mana lokasi di negeri ini, tengah hari esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata tiada amaran bersurai diberikan sebaliknya polis akan terus memberikan kompaun kepada pihak terbabit.

Katanya, Polis Johor juga sudah menggerakkan semua elemen keselamatan termasuk kawalan bersesuaian.

"Sesiapa yang berkumpul tengah hari esok, kita akan terus kompaun. Zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) nak berkumpul buat apa, baik duduk rumah.

"Polis Johor sudah ambil langkah awal memantau. Kalau ada mana-mana individu atau kumpulan yang berkumpul kita akan terus ambil tindakan. Tiada lagi nak beri amaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ayob Khan mengulas video Anonymous berdurasi dua minit 40 saat yang tular di media sosial sejak semalam mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksanaan PKP menerusi operasi Black Democracy.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan susulan tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun pada jam 12 tengah hari di beberapa lokasi, esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, dilaporkan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 3:12 PM