GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli perniagaan bergelar Datuk dan penjawat awam antara 83 individu dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga membabitkan nilai keseluruhan RM357,000 dalam serbuan di tiga pusat hiburan bandar raya ini, malam tadi dan hari ini.

Mereka yang terdiri daripada pelanggan dan pekerja pusat hiburan berkenaan dikompaun antara RM2,000 hingga RM5,000 seorang manakala tiga penjaga premis pusat hiburan pula dikompaun antara RM10,000 hingga RM25,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan Op Noda Pusat Hiburan itu dilakukan bermula jam 1 hingga 11 pagi tadi oleh TasK Force Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

"Tiga serbuan di pusat hiburan di bandar raya ini bermula jam 1 pagi di Stulang Laut dengan 50 individu termasuk pelanggan pusat hiburan berkenaan diperiksa.

"Menerusi pemeriksaan yang dilakukan itu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua penjawat awam ditahan dan dikompaun bersama pelanggan lain kerana melanggar SOP PPN Fasa Tiga.

"Seramai 29 pelanggan ditahan kerana didapati positif dadah, 10 wanita warga asing tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih manakala seorang penjaga premis turut ditahan.

"Serbuan turut dilakukan di sebuah pusat hiburan di Masai kira-kira jam 9.30 malam dengan 14 individu dikompaun RM2,000 kerana melanggar SOP, penjaga premis pula dikompaun RM10,000 manakala tiga pekerja warga asing yang tiada dokumen diri dan bekerja tanpa permit turut ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, serbuan turut dilakukan di sebuah pusat hiburan di pusat komersial mewah di Permas Jaya kira-kira jam 11 malam tadi, dengan 15 pelanggan dikompaun RM5,000 dengan penjaga premis pula dikompaun RM25,000.

Katanya, penjaga premis berkenaan turut ditahan mengikut Seksyen 25(n) Peraturan Pendaftaran Negara kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.

"Polis Johor akan terus menjalankan operasi berterusan bagi memantau pusat hiburan di negeri ini dengan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana mana-mana pusat hiburan atau pengunjung, berikutan operasi pusat hiburan masih belum dibenarkan untuk dibuka.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pusat hiburan di negeri ini yang masih beroperasi mahu pun kegiatan pelacuran, boleh menyalurkan maklumat ke talian 07-2212999 atau 07-2254677," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 3:09 PM