GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pendakwaan lelaki etnik Rohingya dikenali 'Long Tiger' yang dijadualkan di Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini ditangguhkan berikutan dia perlu menjalani kuarantin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi berkata, arahan kuarantin itu berikutan Long Tiger dipercayai menjadi kontak rapat dengan individu dijangkiti Covid-19.

Semalam media melaporkan, Long Tiger akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak pagi hari ini.

Ayob Khan menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor dilapor mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk melakukan pendakwaan kes membabitkan suspek selepas meneliti kertas siasatan.

Sebelum itu, Long Tiger ditahan polis dalam satu serbuan di Muar pada jam 9.45 malam, 12 Julai lalu kerana dipercayai terbabit dalam kes mengurung bekas pekerjanya.

Long Tiger direman bermula 13 Julai lalu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menggugut dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung dengan salah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 3:56 PM