GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemandu yang merompak seorang warga emas akibat terdesak mencari wang untuk menampung perbelanjaan isterinya yang akan melahirkan anak kedua, dipenjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas Yap Chin Boon, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 6 September lalu.

Emilia Kaswati: Mengapa kamu melakukan kesalahan ini, cuba bayangkan, kalau orang yang dirompak itu adalah bapa kamu?

Yap: Saya buat kerana terdesak isteri mahu bersalin. Saya buat bukan dengan sengaja, saya betul-betul insaf, saya mahu jumpa anak kedua yang baru dilahirkan, harap beri saya peluang sebab nak tunjuk contoh yang baik untuk anak-anak saya.

Yap didakwa merompak antaranya sebuah kereta, dompet dan tiga kad bank milik pemandu perkhidmatan e-hailing, S Marathamuthu, 68, dengan bersenjatakan sebilah pisau di tepi Jalan Besar Kepong, Sentul di sini, pada 7.30 malam, 5 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah pemandu perkhidmatan e-hailing dan seorang warga emas.

Peguam tertuduh, Nicholas Cheoh pula memohon hukuman penjara minima dikenakan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh menaiki kereta yang dipandu oleh mangsa dan tiba-tiba meminta mangsa memberhentikan kenderaannya di tepi jalan dengan alasan emaknya menunggu di hadapan jalan.

Tertuduh kemudiannya mengacukan sebilah pisau ke perut mangsa serta mencekik lehernya dari arah belakang.

Berlaku pergelutan antara mereka dan mangsa menolak tangan tertuduh dan terus keluar dari keretanya.

Tertuduh seterusnya membawa lari kereta itu dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 4:46 PM