- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

BEKAS pemandu e-hailing yang merompak dan membogelkan sepasang kekasih hanya kerana hutang RM80, dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor Fikri Edli Mohd Nordin, 34, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan merompak pada hari pertama perbicaraan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua serta memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 11 Februari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Nor Fikri Edli didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan terhadap peniaga burger, 26, dan kekasihnya berusia 25 tahun dengan mengambil empat telefon bimbit pelbagai jenama, kad pengenalan, lesen memandu, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), wang tunai RM300 dan sebuah motosikal.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Jalan Ipoh, Sentul, Kuala Lumpur pada 4 pagi, 30 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh bersama dua rakannya mengajak kedua-dua mangsa untuk berbincang mengenai hutang sebanyak RM80.

Tertuduh mendesak lelaki itu melunaskan hutang sebelum memukul mangsa serta teman wanitanya, selain merampas barangan peribadi kedua-dua mangsa sebelum mereka dibawa ke sebuah hotel.

Di hotel berkenaan, mereka dipukul sekali lagi dan dibogelkan serta aksi itu turut dirakam sambil tertuduh mengugut untuk menyebarkan video terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukum setimpal berbentuk pengajaran berikutan kedua-dua mangsa mengalami trauma kerana dibogelkan selain kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Peguam N Zenathnara yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum kerana anak guamnya mempunyai penyakit sawan serta menanggung empat anak dan seorang ibu berusia 66 tahun.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mahyon turut menasihatkan tertuduh supaya insaf dan mempelajari kemahiran semasa berada di penjara agar tidak terbabit dengan jenayah apabila dibebaskan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 5:46 PM