MD  Tajri (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Panglima Latihan Tentera Darat kepada Abdul Taib di Kem Segenting, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MD Tajri (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Panglima Latihan Tentera Darat kepada Abdul Taib di Kem Segenting, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Ini adalah kejutan terbesar sepenjang 18 tahun perkhidmatan saya,” kata Staf Sarjan Abdul Taib Johree, 38, penerima Anugerah Khas Panglima Latihan Tentera Darat yang julung kali diadakan sempena Perbarisan Jubli Perak Hari Pemerintahan Latihan Dan Doktrin Tentera Darat di Kem Segenting di sini, semalam.

Bertugas sebagai Sarjan Audio Visual di Markas Latihan Tentera Darat Port Dickson, Abdul Taib berkata, dia tidak menyangka terpilih menerima anugerah berkenaan kerana tidak diberitahu pegawai atasannya.

“Memang mereka ada meminta profil diri saya tetapi tidak dinyatakan tujuannya secara jelas. Hari ini pun saya masih bertugas mengambil gambar video di perbarisan ini.

“Selama 18 tahun saya dalam perkhidmatan, inilah kejutan terbesar yang saya terima iaitu menerima anugerah khas yang kali pertama diperkenalkan ini,” kata bapa kepada lima anak yang berasal dari Sibu, Sarawak.

Abdul Taib berkata, dia amat menghargai anugerah yang diterima dan menjadikannya sebagai penyuntik semangat untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Hadir menyempurnakan majlis, Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira, Md Tajri Alwi.

Turut hadir, Pengarah Pengurusan Latihan, Brigedier Jeneral Datuk Hasim Jabar dan mantan Panglima Latihan Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin.

Dalam Perbarisan Jubli Perak PLDTD yang berlangsung di Padang Kawad Kem Segenting ini, turut disertai 27 pegawai dan 520 anggota lain-lain pengkat yang membabitkan semua Pusat Latihan Tentera Darat dan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Markas Latihan Tentera Darat yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu sudah distruktur semula dari Markas 11 Divisyen kepada satu organisasi latihan yang khusus untuk merancang, mengkoordinasikan dan mengawal selia semua aspek latihan serta pembangunan doktrin tentera darat.

Dalam majlis sama, Md Tajri menyampaikan Sijil Penghargaan Panglima Latihan Tentera Darat kepada 12 penerima yang mencapai kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa, negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat (TD) dalam pelbagai acara sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:07 AM