TAN Sri Affendi Buang (tengah) pada Majlis Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan ATM hari ini. FOTO Ihsan FB ATM
TAN Sri Affendi Buang (tengah) pada Majlis Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan ATM hari ini. FOTO Ihsan FB ATM
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan Tabung Ihya' Ramadan bagi mengumpul dana dan sumber kewangan untuk membiayai program serta aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan.

Markas ATM dalam satu kenyataan berkata, selain mendapatkan sumbangan derma daripada individu dan badan korporat bagi membiayai program ini, ia dapat menyemarakkan aktiviti syiar Islam di setiap masjid dan surau khususnya pada Ramadan.

"Serta meningkatkan kesedaran anggota untuk membuat persediaan fizikal dan spiritual bagi menyambut Ramadan tahun ini," katanya.

Majlis pelancaran tabung itu disempurnakan oleh Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Masjid Khalid Al-Walid Kementah (MKWK), di sini.

Katanya, bagi tahun ini, MKWK sudah menerima sejumlah RM13,253.60 hasil sumbangan berbentuk kupon dengan nilai minimum RM2 dan maksimum RM5 yang diagihkan kepada warga ATM di Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Markas Perkhidmatan Tentera Darat, Laut dan Udara.

Selain itu, sumbangan peribadi juga diberikan oleh seorang individu Md Humayun Kabir Al-Haj Hakim bernilai RM84,200 untuk bubur lambuk, iftar dan sahur di MKWK menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM97,453.60.

"Semua aktiviti pengimarahan yang akan dilaksanakan di MKWK melalui sumbangan yang diterima bertujuan membina sifat ehsan dan takwa dalam diri setiap warga tentera dan masyarakat awam setempat.

"Ia juga dilihat sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) khususnya dalam memperkasakan pensyariatan ibadat puasa Ramadan yang dituntut sebagai rukun asas dalam Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 7:05 PM