MOHD Jazri Ikmal (kiri) dan Tan menunjukkan produk keluaran Mahsuri Food.
MOHD Jazri Ikmal (kiri) dan Tan menunjukkan produk keluaran Mahsuri Food.
Amir Abd Hamid


Bangi: Selaras slogan Lebih Senang, Lebih Sayang, Mahsuri Food Sdn Bhd, syarikat pengeluar kicap dan sos masakan buatan Malaysia melancarkan produk semurah RM2.10.

Ketua Komersialnya, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, produk dilancarkan itu adalah Kicap Manis Pedas Mahsuri, Kicap Lemak Manis Mahsuri dan Sos Berperisa Tiram yang bersaiz kecil 145 mililiter (ml) boleh didapati di semua cawangan kedai serbaneka Ninso sejak awal bulan ini.

Beliau berkata, sejak penularan Covid-19, ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

"Ada yang mengalami pengurangan gaji dan ada juga yang kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan.

"Oleh itu, kami di Mahsuri Food Sdn Bhd membuat keputusan untuk melancarkan pek mampu milik.

"Hari ini kami sudah berjaya melancarkan produk saiz 145ml untuk kicap manis pedas, kicap lemak manis dan juga sos berperisa tiram pada harga RM2.10 saja," katanya ketika melancarkan pek mampu milik itu di Ninso Global Sdn Bhd - Ninso Bangi di sini, semalam.

Beliau berkata, ketiga-tiga produk itu adalah antara produk jualan Mahsuri terlaris di pasaran.

Menurutnya, diharapkan ramai mengambil kesempatan untuk mencuba produk buatan Malaysia yang murah berkualiti tinggi itu dan diiktiraf halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta boleh didapati di semua cawangan Ninso.

Sementara itu, Pengarah Pembelian Ninso Global Sdn Bhd, Jerry Tan berkata, pelancaran produk Mahsuri mampu milik itu adalah sejajar objektif Ninso.

"Pelancaran ini adalah sejajar dengan objektif syarikat kami untuk menyediakan produk yang berkualiti pada harga mampu milik di semua cawangan," katanya.

Menurutnya, Ninso sudah membuka 44 cawangan setakat ini dan bercadang untuk membuka lagi 20 cawangan baharu pada 2021 berikutan permintaan tinggi pelanggan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 7:01 AM