Khamis bersama anaknya membantu proses menanam kerbau ternakannya yang mati mengejut di Kampung Banggol Katong, Serada, Terengganu. FOTO NSTP
Khamis bersama anaknya membantu proses menanam kerbau ternakannya yang mati mengejut di Kampung Banggol Katong, Serada, Terengganu. FOTO NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Saya berasa lega dan terharu apabila ada pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi membiayai kos menanam bangkai kerbau," kata Khamis Jusoh.

Khamis, 64, ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim di kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk di sini, hari ini.

Menurutnya, dia perlukan lebih RM300 sehari untuk menyewa jengkaut bagi menaman bangkai kerbau yang mati itu.

"Sudahlah ditimpa musibah apabila banyak kerbau yang mati diserang penyakit, sekarang perlu gunakan wang simpanan pula untuk membiayai kos menguruskan semua bangkai itu.

"Selepas seminggu, akhirnya ada juga yang hadir dan melawat kandang kerbau sambil menghulurkan sumbangan.

"Sedikit-sebanyak wang tunai yang disumbangkan itu membantu meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Menurutnya, dia berharap lebih ramai pihak yang dapat tampil membantunya untuk membiayai kos menguruskan ternakan yang mati diserang penyakit itu.

"Bukan kecil perbelanjaan mengurus bangkai kerbau yang mati itu maklumlah ternakan mati secara berperingkat.

"Bangkai kerbau itu pula perlu ditanam segera untuk mengelak bakteria menjakiti kerbau lain," katanya.

Menurutnya, kerbau yang mati di kandang akan ditanam di dalam kandang itu juga.

Katanya, beberapa ekor kerbau lagi yang mati di luar kandang akan ditanam di kawasan berkenaan.

"Sekarang kawasan dalam kandang kerbau sudah kelihatan berbukit kerana lebih 40 bangkai kerbau sudah ditanam di situ," katanya.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, dia berasa simpati dengan nasib dan musibah yang dihadapi Khamis dan keluarganya.

"Saya terdorong mengunjungi mereka kerana simpati dan cuba membantu dengan menghulurkan sumbangan yang perlu.

"Difahamkan, kos menanam bangkai kerbau itu agak tinggi oleh itu sumbangan segera diberikan kepada Khamis ketika pertemuan hari ini.

"Mereka sedang menghadapi ujian dan musibah yang besar oleh itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka," katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah menghubungi pihak bertanggungjawab termasuk kementerian yang berkaitan untuk membantu Khamis sekeluarga.

"Saya akan berhubung dengan Pejabat Daerah Kuala Terengganu sekiranya boleh menyediakan kemudahan jengkaut di kandang kerbau itu," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 50 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' mati kerana dijangkiti penyakit Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah sejak 9 September lalu.

Berita berkaitan

9 lagi kerbau 'Mowgli Malaysia' mati pagi ini

Peminat jumpa 'Mowgli Malaysia' beri sokongan moral

''Syukur kena sabar, ada hikmah tersembunyi' - Menteri Agama'

'Kerbau 'Mowgli' mati kerana hawar berdarah [METROTV]'

'30 kerbau 'Mowgli' mati mengejut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 4:31 PM