DUA beranak bersama seorang remaja lelaki yang didapati mengetuai rangkaian sindiket pengedaran dadah syabu dan ganja bernilai RM6.58 juta disambung reman tujuh hari . FOTO Dziyaul Abdul Afnan Rahman
DUA beranak bersama seorang remaja lelaki yang didapati mengetuai rangkaian sindiket pengedaran dadah syabu dan ganja bernilai RM6.58 juta disambung reman tujuh hari . FOTO Dziyaul Abdul Afnan Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Dua beranak bersama seorang remaja lelaki yang ditahan selepas disyaki mengetuai rangkaian sindiket pengedaran syabu dan ganja bernilai RM6.58 juta disambung reman tujuh hari.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah pada pagi hari ini.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, pihaknya turut dibantu oleh pasukan penyiasat Bukit Aman bagi menyiasat secara terperinci berhubung kes penyeludupan syabu dan ganja terbesar di Padang Besar pada tahun ini.

"Setakat ini, tiada tangkapan terbaru dan pihak polis masih menyiasat dengan lebih terperinci berhubung kes ini.

"Mereka ini akan direman sehingga 14 September ini dan pada 10 September pihak polis akan menyerahkan fail siasatan ke pihak pendakwaan bagi menentukan tarikh pendakwaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ketiga suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar pada 9.15 pagi dengan menaiki van dan memakai baju lokap.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan dua beranak berusia 43 dan 16 tahun bersama seorang lagi remaja berusia 16 tahun selepas didapati mengetuai satu rangkaian sindiket pengedaran syabu dan ganja di Padang Besar.

Mereka ditahan selepas didapati berada bersama 100 kilogram ganja dan 126 kilogram syabu dalam sebuah rumah pada 2 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 2:52 PM