M Hifzuddin Ikhsan

Kangar: Dua rakan karib didakwa di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas tuduhan mengedar 226 kilogram (kg) syabu dan ganja, September lalu.

Tertuduh, Mohd Firdaus Abdullah, 21, dan Mohd Zamidi Mat, 31, mengangguk faham namun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka dituduh mengedar dadah methamphetamine (syabu) seberat 126 kilogram di sebuah rumah di Jalan Raja Wali, Felda Rimba Mas, Padang Besar pada 12.15 tengah malam, 2 September lalu.

Mereka juga dituduh mengedar dadah jenis kanabis (ganja) seberat 100 kilogram pada tarikh dan tempat yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

MOHD Firdaus (dua, kanan) dan Mohd Zamidi didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini kerana mengedar dadah. FOTO Amran Hamid.
MOHD Firdaus (dua, kanan) dan Mohd Zamidi didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini kerana mengedar dadah. FOTO Amran Hamid.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Joydia Por Yi Tying manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Media sebelum ini, melaporkan tiga individu termasuk dua beranak ditahan bersama 100 kilogram ketulan mampat ganja dan 126 kilogram syabu yang dimuatkan ke dalam lima karung guni dan 18 beg di Felda Rimba Mas, Padang Besar.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai mengetuai rangkaian sindiket pengedaran dadah bernilai RM6.58 juta yang menjadi nilai terbesar rampasan di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 12:00 PM