WAKIL syarikat Mon Space (M) Sdn Bhd didenda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
WAKIL syarikat Mon Space (M) Sdn Bhd didenda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
Raja Noraina Raja Rahim


SEBUAH syarikat didenda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen, mempromosi skim piramid dan pengubahan wang haram.

Wakil syarikat Mon Space (M) Sdn Bhd membuat pengakuan bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah oleh Pengawal Jualan Langsung mengikut Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP) 1993 di No 22A Jalan Jalil 1, Bumi Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Mei 2018.

Mengikut pertuduhan kedua, syarikat itu didakwa mempromosikan skim piramid iaitu Skim Monspace di alamat sama antara 14 Jun 2017 hingga 17 Julai 2017.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, syarikat didakwa menggunakan akaun semasa syarikat di Malayan Banking Berhad sebagai peralatan kesalahan pengubahan wang haram yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Bagi kesalahan pertama syarikat didakwa mengikut Seksyen 4(2) AJLSAP 1993, Seksyen 27B akta sama (kedua) dan Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (ketiga).

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Atiqah Abdul Karim@Husaini dan Tan Chiew King serta Syafinas Shabudin manakala wakil syarikat diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah, Andy Yong dan NC Lam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM300,000 bagi kesalahan pertama, RM1.7 juta (kedua) dan kesalahan ketiga didenda RM7 juta serta wang tunai di dalam 17 akaun berjumlah RM998,196.06 dilucuthakan kepada kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataan hari ini, mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan skim yang menawarkan pulangan tinggi dalam masa singkat terutama skim yang menjana pendapatan dengan cara memperkenalkan ahli baru.

"Orang ramai perlu menyelidik dan memeriksa terlebih dulu dengan mana-mana agensi sama ada sesebuah syarikat yang menawarkan apa-apa skim itu berdaftar dan mempunyai lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 9:37 PM