Peserta yang menjadi mangsa kes penipuan tukaran wang asing FOREX berkumpul pada Mac 2016. FOTO arkib NSTP
Peserta yang menjadi mangsa kes penipuan tukaran wang asing FOREX berkumpul pada Mac 2016. FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen urus niaga mata wang asing (FOREX) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, orang ramai beranggapan lesen berkenaan dikeluarkan kementeriannya sedangkan perkara itu tidak berlaku.

"Segala perniagaan bersifat 'money game' atau skim cepat kaya seperti pelaburan, hartanah, FOREX atau emas yang berselindung di bawah modus operandi pemasaran berbilang tingkat (MLM) adalah tidak dibenarkan.

"Ini selaras dengan Seksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (AJLSAP 1993) dan tertakluk di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya pada sidang media mengenai isu skim pelaburan tidak sah di sini, hari ini.

Katanya, setiap syarikat yang ingin menjalankan perniagaan jualan langsung perlu membuat permohonan terlebih dulu untuk mendapatkan lesen termasuk mengemukakan pelan pemasaran yang tidak mempunyai unsur skim piramid.

"Sejak 2012 hingga kini, sebanyak 198 kes diambil tindakan penguatkuasaan KPDNKK dengan nilai rampasan berjumlah RM5.8 juta dan sebanyak RM960,500 kompaun dikenakan ke atas syarikat yang gagal mematuhi Akta AJLSAP 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:03 PM