Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Empat pengarah syarikat termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung secara haram.

Tertuduh, Tan Kwong Yeow, 35, Ooi Chuen Chie, 35, Lim Shing Yee, 31 dan Seow Ming Cjoy, 32, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibaca jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Kesemua mereka didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik dikenali sebagai Career Opportunity Plan (COP) tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung mengikut Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Sementara itu, syarikat pemasaran yang diwakili empat tertuduh terbabit, Quinton Group Sdn Bhd turut berdepan satu pertuduhan sama iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik tanpa lesen yang sah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Quinton, No 11, Jalan Ahmad Nor, Pusat Perdagangan Nova, 11600 Jelutong dalam Daerah Timur Laut pada 19 Oktober 2022 kira-kira jam 5 petang.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 38 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP) dan Seksyen (1) AJLSAP dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (2) (b) akta sama.

Sekiranya individu itu bukan suatu pertubuhan perbadanan atau perkongsian, kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Syazwani Zawawi yang menawarkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Shazwani turut memohon tiga syarat tambahan iaitu semua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sepanjang kes dibicarakan, melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan melarang tertuduh daripada mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Asri Abdul Hamid yang mewakili kesemua tertuduh memohon kadar jaminan itu dikurangkan memandangkan kesemua tertuduh yang beralamat di Pulau Pinang itu tiada pendapatan tetap sejak kes disiasat selain perlu menanggung ibu bapa dan keluarga.

Hakim Mazdi membenarkan permohonan syarat tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya dan menetapkan wang jaminan RM25,000 beserta seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan 29 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 4:16 PM
EMPAT pengarah syarikat jualan langsung termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini, atas pertuduhan dan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah tahun lalu.  FOTO Mikail Ong
EMPAT pengarah syarikat jualan langsung termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini, atas pertuduhan dan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah tahun lalu. FOTO Mikail Ong