Noor Hidayah Tanzizi


'SPIDERMAN' mengambil kesempatan kemeriahan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim dengan menjual petai di tepi jalan hadapan Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, hari ini.

Usaha itu dilakukan anak muda dari Slim Village, T Selvakumar, 22, yang memakai kostum Spiderman bagi menarik perhatian orang ramai untuk singgah membeli petai dijualnya.

Selvakumar berkata, dia sudah menjual petai di tepi jalan di sekitar Muallim, Kuala Kubu Baru, Batang Kali dan Rawang, Selangor sejak dua bulan lalu dan memakai kostum adiwira itu sejak sebulan lalu.

Menurutnya, dia yang juga pelajar di sebuah kolej swasta dalam jurusan perniagaan antarabangsa memilih melakukan kerja itu kerana ingin mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan hariannya bersama nenek, T Ambega, 64.

"Mendiang datuk sebelum ini sudah menjual petai selama 10 tahun dan memandangkan ketika ini kelas banyak dijalankan secara dalam talian, saya mengambil keputusan melakukan kerja sama.

"Saya tidak membuka gerai sebaliknya petai hanya diletakkan di but kereta saja, cuma untuk menampak kelainan sedikit saya memakai kostum Spiderman supaya kehadiran saya disedari orang," katanya ketika ditemui.

Katanya, petai yang dijual diperolehi daripada Orang Asli Kampung Ulu Slim dan dia akan mengambil bekalan setiap hari bagi memastikan petai jualannya segar.

"Sehari boleh dapat RM300 tetapi pernah juga hasil jualan tidak pulang modal. Setangkai petai ada lapan papan yang dijual pada harga RM10.

"Hari ini saya datang ke pekan Slim River kerana melihat kemeriahan pilihan raya di sini. Ramai juga yang membeli, menegur dan mengambil gambar bersama," katanya yang turut menjual petai yang siap dikopek.

Menurutnya, dia tidak pernah malu melakukan kerja itu kerana baginya apa yang dilakukan adalah kerja yang halal.

"Ada juga yang mengusik cakap Spiderman kerjanya memanjat bukan jual petai, saya hanya ketawa saja dan tidak ambil hati.

"Saya masih belajar dan ini untuk pendapatan sampingan saja, lagipun saya tidak mahu jauh dari nenek kerana dia ada penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 3:17 PM
    SELVAKUMAR berpakaian kostum Spiderman mengambil kesempatan menjual petai pada hari mengundi PRK Dun Slim di Pekan Slim River. FOTO Hazreen Mohamad
    SELVAKUMAR berpakaian kostum Spiderman mengambil kesempatan menjual petai pada hari mengundi PRK Dun Slim di Pekan Slim River. FOTO Hazreen Mohamad